Breaking News
recent

EKSTRIM : BAHAYA TETAPI BERBALOI


Ia dianggap antara laluan paling berbahaya di dunia dengan jarak sejauh 1,300 kilometer. Selamat datang ke ‘lebuh raya neraka!’

Kedudukannya di kawasan tinggi iaitu di atas bukit dan pergunungan yang menjanjikan panorama memukau menyebabkan Lebuh Raya Karakoram sering menjadi tumpuan pelancong.

Begitupun, disebabkan sebahagian besar laluannya terletak di pedalaman Pakistan, lebuh raya itu sering dicanang oleh media Barat kononnya menjadi sasaran serangan militan - tuduhan yang ternyata meleset jika anda merasai sendiri pengalaman melalui laluan itu.

Penulis akui ketika menjejakkan kaki ke Pakistan, perasaan paranoid dengan tohmahan tidak selamat mengunjungi negara ini agak menebal. Namun, segala-galanya berubah apabila penduduknya mengalu-alukan kedatangan kami dengan mesra, apatah lagi apabila mengetahui rombongan kami dari Malaysia.


Tun Dr Mahathir Mohamad, nama mantan perdana menteri terus meniti di bibir mereka, baik pegawai keselamatan mahupun penduduk Pakistan. Perasaan hormat dan mesra terus bercambah sebaik mereka menyedari penulis dan 10 lagi rakan dari Malaysian Backpackers beragama Islam.

Kami memilih menerokai Pakistan menerusi jalan darat ke bahagian utara di Hunza-Gilgit kerana dimaklumkan ia mempunyai pemandangan indah serta boleh mengutip pengalaman dunia lasak luar biasa.

Ketika dalam perjalanan ke Fairy Meadows, sebuah perkampungan sebelum ke Gunung Nanga Parbat dari Lebuh Raya Karakoram, kami diingatkan oleh penunjuk arah, Raji, supaya tidak merakamkan gambar wanita sesuka hati kerana perlu meminta izin terlebih dulu.


Di beberapa kawasan di Pakistan terutama di luar bandar, wanita dianggap golongan yang perlu menjaga maruah, sebab itulah perasaan malu mereka masih menebal.

Lensa kamera yang menghala wajah wanita tanpa izin bakal menerima padah kerana dianggap tidak menghormati budaya tempatan.

Untuk ke Fairy Meadows dari Lebuh Raya Karakoram, kami menaiki jip yang setiap satu mampu memuatkan empat penumpang. Ia pengalaman menarik dan mendebarkan. Mana tidaknya, kami perlu melalui satu lagi laluan paling berbahaya di dunia, Fairy Meadows.

Menaiki jip melalui jalan berbatu dan berhabuk manakala bahagian kirinya gaung dan jurang tanpa penghadang, pengalaman cukup menggerunkan, apatah lagi apabila perlu berselisih dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Perjalanan sejauh 16.2 kilometer itu mengambil masa kira-kira sejam dan di penghujung laluan ada sebuah perkampungan kecil dikenali sebagai desa Tato. Dari suhu sepanas 40 darjah Celsius di Raikot Bridge iaitu lokasi permulaan menaiki jip, suhunya menjunam kepada 10 darjah Celsius berikutan perkampungan itu berada kira-kira 3,000 meter dari aras laut.

Dari desa Tato, kami diberi dua pilihan sama menunggang kuda atau mendaki selama tiga jam dengan jarak sejauh lima kilometer. Menunggang kuda menjadi pilihan kami bagi merasai sendiri pengalaman mengendalikan haiwan itu di kawasan pergunungan.

Pada akhir perjalanan, kami bermalam di Broad View Resort & Camping Site. Ketika tiba, jelas kelihatan panorama indah puncak Nanga Parbat tersergam di depan mata.

Namun, masih menjadi persoalan kepada penulis, adakah kawasan kami bermalam itu ialah Fairy Meadows?

Rupa-rupanya, Fairy Meadows hanya di belakang rumah tumpangan kami bermalam. Ternyata perjalanan yang mencabar ke lokasi itu bukan sia-sia apabila tersergam indah sebuah perkampungan ala filem dongeng.


Terbentang luas pemandangan hijau dengan pantulan puncak Gunung Nanga Parbat di permukaan kolam di situ. Ketika kami tiba, penduduk kampung yang lelakinya berkurta sedang bertani, kanak-kanak bermain riang dan gadis ayu duduk di luar rumah memerhatikan kehadiran kami yang bagaikan berada di dunia lain.

Kehadiran haiwan ternakan seperti ayam, biri-biri dan lembu serta haiwan tunggangan seperti kuda dan keldai menambah ‘drama’ dalam pemandangan kami. Penulis menganggap Fairy Meadows diberi jolokan The Lost World Of Pakistan.

Manakan tidak, di sebalik panorama gunung-ganang di kiri dan kanan Lebuh Raya Karakoram, kita tidak dapat menjangka ada dunia begitu indah dengan pemandangan dan budayanya.

Seperti dinyatakan tadi, Fairy Meadows antara laluan ke gunung Nanga Parbat. Kami kemudian mengambil kesempatan menyambung perjalanan ke Nanga Parbat Base Camp pada ketinggian 4,200 meter .

Untuk ke Nanga Parbat Base Camp dari Fairy Meadows, kami perlu mendaki sekitar tiga jam jika tidak berhenti untuk merakamkan gambar. Namun, tentulah rugi jika tidak merakam suasana dan pemandangan di situ.

Selain pemandangan indah di Fairy Meadows, kami turut dihidangkan dengan keindahan pokok pain dan kawasan berbatu besar yang terdapat laluan anak sungai memecah kesunyian perjalanan mengasyikkan.

Selepas laluan berbatu, Beyal Camp, kami tiba di satu lagi perkampungan kecil yang pemandangannya sama seperti Fairy Meadows. Di sini, kelihatan jelas pergunungan di sekitar Nanga Parbat kerana lokasinya di kaki gunung.

Di sini, kanak-kanak lelaki mudah didekati berbanding budak perempuan yang sudah dididik supaya tidak terlalu mendedahkan diri kepada orang asing.

Akhirnya, sekitar jam 1.30 petang, penulis bersama tiga ahli Malaysian Back­pakers tiba di Nanga Parbat Base Camp. Nasib kami kurang baik kerana ketika itu puncak Nanga Parbat dilindungi awan, yang jelas kelihatan hanya glasier di bahagian bawahnya.

Merakam memori indah di Pakistan tidak terhenti sekadar sepanjang perjalanan dari Raikot Bridge ke Gunung Nanga Parbat. Tarikan lain seperti merentasi jambatan gantung Hussaini yang dianggap antara paling berbahaya di dunia pasti menguji tahap keberanian kami.

Selain itu, pengalaman menaiki bot di Tasik Attabad yang dahulunya sungai keruh dan berubah bentuk menjadi tasik hijau akibat tanah runtuh dan banjir besar yang memusnahkan Lebuh Raya Karakoram pada 2010 juga sangat menarik.

Rombongan kami perlu melalui tasik ini kerana ia satu-satunya laluan bagi menyambung perjalanan menggunakan Lebuh Raya Karakoram yang kini dalam proses pembinaan terowong dan dijangka siap, bulan ini.

Uniknya di tasik ini, bot bukan saja membawa manusia, malah turut mengangkut kenderaan seperti motosikal, kereta dan kenderaan pacuan empat roda.

Peninggalan istana lama, Baltit Fort dan Altit Ford di Hunza memberi pengetahuan kepada kami mengenai asal usul masyarakat tempatan yang dahulunya beragama Buddha sebelum kedatangan Islam pada abad ketujuh.

Bagi masyarakat di Lembah Hunza, mereka tidak menggunakan bahasa Urdu iaitu bahasa rasmi Pakistan tetapi Shina, dialek bahasa di situ.

Di Lembah Hunza, pengalaman memetik epal, aprikot, anggur, walnut, mulberi putih serta strawberi yang tumbuh meliar tidak dapat dilupakan.

Jika berpeluang ke sini, sarapan pagi yang menghidangkan teh cai iaitu teh herba dibancuh dengan susu segar dan bubur gandum cukup enak untuk dinikmati.

Nasi beriani dan capati bersama kuah dal serta daging yak atau kambing pula makanan wajib pada tengah hari dan malam.
Unknown

Unknown

No comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.